“Gelaran tua bagi Negeri Pahang itu ialah Inderapura, disebut juga sebagai Pahang Inderapura. Bandar Dirajanya yang terkenal sehingga kini dan ibu Negeri Pahang pada zaman dahulu bernama Pekan. Sebelum Negeri Pahang ditakluk oleh Kerajaan Melayu Melaka, orang Hindu Asli (berbahasa Sanskrit) memanggil ibu Negeri Pahang itu Pura. Orang-orang Melayu ada juga menyebutnya Pura (ada tersebut dalam Hikayat Sejarah Melayu 1977: hal 73), manakala orang Melayu yang tinggal berhampiran dengan Sungai Endau, Sungai Rompin dan Sungai Bebar pula memanggilnya Pekan Pahang. Pada masa itu, Bandar Diraja Pahang yang dinamakan Pekan itu ialah daerah-daerah yang di kiri dan kanan Sungai Pahang dan Sungai Pahang Tua hingga ke hulu had Tanjong Langgar. Bandar Pekan itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu Pekan Baharu dan Pekan Lama. Di Pekan Lama itulah tempat kediaman raja-raja dan orang-orang Besar Pahang. Pekan Baharu itu pada zaman dahulu Kampung China namanya, kemudian baru disebut Pekan Baharu.”
Sumber: www.pekan.my



Bandar Pekan dikatakan wujud sejak abad ke-17 lagi. Namun demikian, tidak ada tarikh yang tepat tentang penemuan Pekan tetapi ramai penulis Barat, Arab atau penulis Cina menyebut dan menceritakan tentang Pekan. Mengikut pendapat orang-orang Tuam, Pekan mendapat namanya dari sejenis bunga yang dipanggil Bunga Pekan yang banyak tumbuh menjalar di tebing-tebing Sungai Pahang. Bunganya berwarna putih seperti bunga Melor, namun bakanya kini sudah tiada lagi untuk dikenalkan kepada generasi kini. Di Bandar Pekan juga terdapat sebatang sungai yang digelar Sungai Pekan (berhampiran Kampung Mengkasar) tetapi tiada bukti yang menyatakan Pekan mendapat nama dari sungai tersebut. Namun begitu ada pendapat mengatakan bahawa Pekan mendapat namanya dari pengertian bandar, pasar, pekan sehari dan tempat orang berjual beli. Sumber ini lebih tepat kerana Pekan yang dikenali sebagai Pura pada zaman dahulu diambil dari Bahasa Sanskrit yang bererti Pekan atau Bandar yang menjadi tumpuan peniaga.
Bandar Pekan berkeluasan 3846.14 kilometer persegi (385.135 hektar). Pekan mempunyai 11 mukim iaitu Pekan, Bebar, Temai, Lepar, Kuala Pahang, Langgar, Ganchong, Pahang Tua, Pulau Manis , Pulau Rusa dan Penyor. Pekan terletak kira-kira 6,437km daripada Laut China Selatan. Kedudukan Bandar Pekan ialah di tebing Sungai Pahang, sungai terpanjang di semenanjung Malaysia iaitu sejauh 477.97km (297 batu). Terdapat pula Sungai Parit dan Sungai Air Hitam di kiri dan kanan kawasan Pekan Baharu. Pada umumnya keadaan alam dan muka bumi Bandar Pekan dan sekitarnya adalah tanah dataran yang terbentang rata di sepanjang Sungai Pahang. Kebanyakan tanah di Pekan adalah dari jenis gambut.
Bandar Pekan terbahagi kepada dua bahagian iaitu Pekan Baharu dan Pekan Lama. Pekan Lama adalah kawasan kediaman sultan dan pembesar-pembesar Pahang. Sementara Pekan Baharu merupakan kawasan kediaman rakyat jelata yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai Kampung Cina. Di sinilah terdapat orang-orang Cina yang menjalankan kegiatan perniagaan. Abdullah Munsyi merakamkan dalam Kisah Pelayaran Abdullah seperti berikut :
“Kampung China itu semuanya orang Cina Kheh : rumah mereka semuanya rumah atap, di dalam rumah mereka ada menyimpan kain-kain dan makanan.”
Ada bukti yang menyokong pendapat bahawa Pekan Baharu dan Pekan Lama adalah setanah sebelum dipisahkan oleh parit yang digali oleh orang-orang Siam semasa membuka tanah paya di belakang Padang Sesiur. Ini menunjukkan bahawa terdapat masyarakat luar menetap di Pekan, selain masyarakat tempatan. Penempatan Siam di Pekan telah diceritakan Shellabear:
“Adapun dahulukala Negeri Pahang itu negeri besar, takluk ke benua Siam, Maharaja Dewa Sura namanya, keluarga pada Paduka Bunbunnya. Setelah Sultan Mansur Shah mendengar khabar Pahang itu, maka baginda pun menitahkan Bendahara Paduka Raja menyerang Pahang.”
Melalui petikan tersebut dapat diketahui bahawa Pahang pada suatu ketika pernah dijajah oleh Siam sebelum jatuh ke tangan Melaka dalam tahun 1454 Masihi.
Bilangan golongan Cina pula tidaklah begitu ramai di Bandar Pekan akibat monopoli perdagangan oleh bendahara dan golongan Arab, selain dikenakan cukai yang tinggi. Menurut Frank Swettanham, pada tahun 1885 hanya ada 80 orang Cina sahaja di Bandar Pekan.
Terdapat golongan Arab di Pekan yang menjalankan pelbagai aktiviti. Antaranya berniaga, berdagang dan menyebarkan agama Islam sesuai dengan perkembangan Islam pada waktu itu. Keturunan Syed juga dikatakan berasal dari Pahang, ini membuktikan bahawa golongan Arab ini sudah berada di Pekan sebelum abad ke-15 lagi. Abdullah Munshi juga menyatakan bahawa pada tahun 1838, terdapat beberapa keluarga Arab yang telah membuka Kampung Maulana berhadapan dengan Kampung China di sebelah tebing Sungai Pahang.
Mengikut sejarah juga, terdapat orang Bugis dan Acheh di Pekan. Bermula dalam tahun 1722, Tok Tuan atau Kraing Aji berketurunan Bugis telah membuka sebuah kampung yang bernama Mengkasar sempena nama asalnya di Bugis. Dari keturunan Bugis inilah bermulanya asal usul keturunan “Orang Kaya Indera Shah Bandar Pahang” iaitu keturunan keluarga Allahyarham Tun Abdul Razak. Tenunan Sutera Pahang telah dikenalkan oleh golongan Bugis yang menetap di Pekan. Selain itu, kehadiran Bugis di Pekan telah dibuktikan dengan kewujudan Makam Condong di Kampung Mengkasar, di mana ia merupakan makam bonda Iskandar Thani dan batu nisan itu sendiri dibawa dari Acheh.
Struktur lapisan masyarakat Melayu di Pekan pada zaman dahulu terbahagi kepada dua lapisan iaitu golongan ‘aristokrasi’ dan golongan rakyat biasa, termasuk golongan hamba. Kutipan cukai juga dikenakan ke atas rakyat biasa bagi membiayai perbelanjaan kerajaan. Keadaan ini jelas menindas golongan miskin. Abdullah Munsyi berpendapat bahawa Negeri Pahang adalah miskin dan rakyatnya malas kerana sentiasa takut dianiaya oleh Sultan dan pembesar memandangkan jika ada lebihan wang dan makanan, semuanya akan dirampas.
Secara amnya, penduduk yang tinggal di Bandar Pekan merupakan masyarakat yang menetap untuk menjalankan aktiviti perdagangan dan pertanian (masyarakat Melayu). Mereka menjalankan perdagangan dari kawasan hulu dan kuala ataupun dari Pekan ke Singapura. Hal ini disokong oleh hakikat bahawa Pekan adalah pusat pentadbiran negeri yang memudahkan kegiatan perdagangan dan perniagaan.
Keistimewaan Pekan Dalam Perdagangan
Bandar Pekan terkenal sebagai Bandar Diraja kerana merupakan tempat bersemayam Sultan dan kerabat Diraja Pahang serta pusat pentadbiran negeri sejak dahulu lagi. Selain itu, Pekan turut terkenal sebagai pusat tumpuan perdagangan dan perniagaan. Kedudukannya yang strategik iaitu di kuala Sungai Pahang menjadi faktor kepada keadaan ini memandangkan sungai menjadi jalan perhubungan utama pada masa itu.
Berdasarkan sumber-sumber yang boleh dipercayai, kegiatan perdagangan telah lama wujud di sekitar Pekan. Hasil-hasil eksport Pahang yang dibawa ke Pekan adalah emas, bijih timah, kayu-kayan, dan hasil hutan. Sementara barang-barang import ialah opium, padi, garam, tembakau, sutera, dan kain. Pekan pada masa itu, menjadi pusat pengumpulan dan penukaran barang-barang antara penduduk tempatan dan pedagang. Hasil-hasil dari pedalaman seperti damar, getah dan rotan akan dibawa oleh orang Melayu untuk dijual atau ditukarkan dengan keperluan harian seperti garam, gula dan pakaian. Urusniaga ini pada masa itu dikawal oleh orang-orang Cina dan golongan yang rapat dengan istana. Manakala kegiatan perdagangan sepenuhnya dimonopoli oleh kelas pemerintah yang dikenali sebagai ‘Pedagang Diraja’. Orang-orang Arab pula menjadi orang tengah dalam perdagangan. Keadaan ini telah menjadikan Pekan semakin terkemuka di Pahang sebagai tempat tumpuan golongan pedagang.
Di Pekan sendiri wujud sistem mata wang tertentu seperti emas dan sistem mata wang tumpang. Hal ini bagi memudahkan segala urusan perdagangan dan perniagaan. Tambahan pula, Pahang memang terkenal sebagai pengeluar emas dan bijih timah. Masyarakat Melayu sebagai golongan majoriti lebih tertumpu kepada bidang pertanian sebagai aktiviti ekonomi utama, memandangkan adanya Sungai Pahang yang memudahkan pengaliran sawah di samping tanahnya yang subur. Sebagaimana dalam petikan di bawah menyatakan :
“Pekan Pahang itu seperti dusun, tiada berpasar dan tiada berkedai, tiada lorong tempat berjalan-jalan melainkan di Kampung China itu sahaja ada jalan lebih kurang lima puluh depa panjangnya. Di negeri Pahang itu banyak hutan rimba tetapi tidak diusahakan. Tanah negerinya subur sesuai untuk bercucuk-tanam.”
Oleh sebab keistimewaan tersebut, Pekan telah menjadi pusat perdagangan terpenting di Pahang. Pekan menjadi pusat tumpuan di kuala, barang-barang dan hasil dari hulu dikumpulkan di sini, dijual serta diperniagakan, malah dieksport ke Singapura dan lain-lain negeri. Barang-barang import juga ditempatkan di sini sebelum dibawa ke kawasan hulu.
Keluasan Daerah Pekan
Keluasan Daerah Pekan ialah 380,500.00 hektar atau 3,805 kilometer persegi. Daerah Pekan merangkumi 11 buah mukim iaitu Pekan, Kuala Pahang, Pahang Tua, Pulau Rusa, Langgar, Ganchong, Temai, Pulau Manis, Lepar, Penyor dan Bebar.
Daerah Pekan juga merupakan daerah keempat terbesar yang terletak di bahagian timur negeri Pahang.
Keluasan Kawasan Mengikut Mukim
Taburan Penduduk
Bilangan penduduk Daerah Pekan pada tahun 2005 adalah seramai 142,716 orang. Majoriti penduduk di kawasan kajian terdiri daripada kaum Melayu, diikuti masyarakat Orang Asli dan selebihnya ialah kaum Cina dan India.
Taburan penduduk mengikut mukim
Profil penduduk
BIL | MUKIM | 2003 | 2005 |
1 | Pekan | 24,173 | 41,468 |
2 | Kuala Pahang | 6,982 | 23,165 |
3 | Pahang Tua | 11,317 | 13,295 |
4 | Pulau Rusa | 579 | 693 |
5 | Langgar | 4,455 | 5,098 |
6 | Ganchong | 1,359 | 1,753 |
7 | Temai | 998 | 1,366 |
8 | Pulau Manis | 1,498 | 1,899 |
9 | Lepar | 4,854 | 5,731 |
10 | Penyor | 28,408 | 31,166 |
11 | Bebar | 15,263 | 17,082 |
JUMLAH | 99,886 | 142,716 |
Ekonomi Daerah Pekan
Daerah Pekan menjana ekonomi dalam sektor pertanian, perindustrian automobil dan pelancongan.
Sumber: Arkib Negara
Daerah Pekan menjana ekonomi dalam sektor pertanian, perindustrian automobil dan pelancongan.
Sumber: Arkib Negara